Thursday, June 26, 2008

PUJI........

Asyik Puji Je, Apa Pandangan Islam ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


"Masyaallah, sangat hebat kesannya tulisan ustaz ini dalam diri saya"

"Anta memang satu-satunya insan hebat dan mampu mengulas dengan sangat jelas dan adil"

"Buku yang sangat mampu mengubah seluruh masyarakat"

"Penyampaian yang saudara buat tadi memang sangat-sangat cemerlang, kalau bukan kerananya kta tidak mampu dapat kontrak nih"

"Dato' telah membuat satu keputusan yang sangat bernas, pelik mengapa orang lain tidak dapat memikirkan seperti yang Dato fikirkan"

"Saya kira Dr adalah orang yang paling berautoriti dalam bidang ini, apa yang Dr cakap adalah hujjah utama kami"

"Boss, cekap betul boss menyelesaikan masalah tadi, kami tak sangka hal yang amat rumit nampak begitu mudah bila boss bagi penyelesaian"

Ini mungkin segelintir bentuk pujian yang dilontarkan kepada tokoh ilmuan Islam, tokoh politik, ahli akademik, ketua syarikat dan lain-lain. Adakah pujian ini dibenarkan oleh Islam dibuat secara terbuka di hadapan individu terbabit?

Dalam artikel sebelum ini, saya berkongsi sedikit pandangan berkenaan bahaya sangka buruk jenis dosa yang semakin membiak di dalam masyarakat kita. Namun begitu, sebenarnya masih banyak isu dan fakta berkaitan sangka buruk yang belum sempat untuk saya kongsikan bersama para pembaca sekalian. InshaAllah saya akan cuba kongsikannya bersama pembaca selepas ini.

Cumanya saya ingin dahulukan artikel ini disebabkan agak ramai yang terlibat dan kesannya yang tidak kurang dahsyat. Isunya adalah puji memuji, apakah pandangan Islam untuk kita mmeuji seseorang di hadapannya?. Apakah pula bezanya dengan membodek dan pujian sebenar?.

Sebagai asasnya, mari kita lihat beberapa nas hadis dalam isu berkaitan. Diriwayatkan dalam sebuah hadis :-

عَنْ أبي مُوسَى قال سَمِعَ النبيُّ رَجُلاً يُثْني عَلَى رَجُلٍ ويُطْرِيه في المِدْحَةِ فقال أهْلَكْتُمْ أوْ قَطَعْتُمْ ظَهْرَ الرَّجُلِ

Ertinya : Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih dalam pujiannya maka Rasulullah s.a.w : Kamu telah merosakkannya dan telah memotong belakangnya (seolah-olah) " ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663 )

PUJIAN ATAU ‘MEMBODEK'

Sekali baca kelihatan kita ditegah sama sekali untuk memuji sesorang di hadapannya. Namun Imam Badr Al-Aini ketika menghuraikan hadis ini menyebut pujian yang "memotong belakang" itu adalah dalam konteks seseorang terlalu berlebihan dalam pujiannya sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang yang dipuji sehingga menyebabkan datangnya sifat ‘ujub dalam diri, merosakkan hati, menghancur keikhlasan dan merasa diri benar lagi hebat sentiasa. Padahal realitinya tidak sedemikian

Perkara ini dalam kata lainnya adalah 'membodek'. Ia kerap berlaku kepada orang berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan keduniaan. Justeru jika anda memegang jawatan penting, pemutus keputusan di syarikat atau organisasi, anda perlu berhati-hati kerana akan muncul ramai pemuji dan pemuja yang boleh bertujuan 'bodek'. Kali ini sangka buruk dalam hal ini perlu atas nama berhati-hati dan beringat. Namun bukan semua akan demikian, mungkin segelintirnya akan memuji dengan benar.

Pujian melampau jenis ‘bodek' bukan sahaja boleh dibuat melalui ungkapan lisan malah ia juga dibuat melalui pergerakan fizikal seperti cium tangan dan sebagainya. Hasilnya, orang yang diperlakukan sedemikian boleh diuji dengan hebat sehingga mereka akan menjadi seorang yang menyangka superior atas segala sesuatu, terbijak, paling berpengaruh dan lain-lain. Sehingga tiada lagi proses peningkatan perlu dibuat. Inilah yang pernah memerangkap perasaan bekas Perdana Menteri, beliau sendiri mengakuinya banyak kali, terbaru di dalam web beliau apabila beliau mengatakan :-

"Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan.: ( rujuk http://www.chedet.com/)

Jelasnya, sang bekas perdana menteri terangkap dengan pujian dan gerakan sokongan orang di sekelilingnya. Kebanyakan mereka yang memuji bukan 'pujian sebenar' namun hanya dibuat kerana kepentingan diri masing-masing. Agar dilihat taat, orang setia dan lain-lain.

Ini biasa berlaku bagi orang berjawatan. Lihat sahaja boss di syarikat anda bekerja, sudah tentu ada yang 'kipas' di dalam mesyuarat, di luar mesyuarat dan lain-lain. Sehingga adakalanya keputusan yang 'TIDAK BIJAK' dilihat bijak akibat bodekan dan pujian palsu ini. Selepas si boss tiada jawatan baru akan diketahui pujian itu hakiki atau palsu semata-mata. Inilah yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri.

Budaya 'kipas' dan 'bodek' ini tidak lain kecuali satu tindakan yang haram di sisi Islam dan ia ternyata dari hadis di atas. Yang mana ia pasti membawa kesan buruk kepada penerima 'bodekan'. Malah kesan buruk itu bukan sahaja terhenti kepada orang yang di'bodek' malah seluruh organisasi akan terkesan. Sudah tentu, apabila keputusan yang salah terus dipuji dan disokong kerana 'bodek', akhirnya memudaratkan masyarakat, organisasi serta syarikat.

PUJIAN SEBENAR

Bagi sesetengah individu yang dipuji bukan kerana jawatan yang dipegangnya atau apa jua pengaruh keduniaan. Sebagai contoh ia seorang ulama yang alim lagi rendah diri, tokoh masyarakat yang berjasa, penulis buku yang berkualiti, majalah dan lain-lain yang cekap dan bijak dalam bidangnya. Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar. Ia tidak jatuh dalam kategori 'bodek' tapi ia masih mempunyai kebahayaan yang mendalam kesannya. Sebuah hadis berbunyi :-

احثوا التراب في وجوه المداحين

Ertinya : Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji ( Abu Daud, no 4170 )

Sebahagian para ulama mentakwilkan maksud hadis ini kepada pujian kepada yang tidak layak , dan mengada-adakan yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar sentiasa, juga merasa hebat. (Umdah al-Qari, 22/132 )

Imam Al-Khattabi ketika menghuraikan hadis di atas berkata :-

فَأَمَّا مَنْ مَدَحَ الرَّجُل عَلَى الْفِعْل الْحَسَن تَرْغِيبًا لَهُ فِي أَمْثَاله وَتَحْرِيضًا لِلنَّاسِ عَلَى الِاقْتِدَاء بِهِ فِي أَشْبَاهه , فَلَيْسَ بِمَدَّاحٍ

Ertinya : Barangsiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka ia TIDAKLAH TERMASUK dalam kategori "maddah" iaitu yang pemuji terkeji" ( Ma'alim as-Sunan)

Walau apa jua takwil, teks hadis ini juga merangkumkan segala jenis pujian benar di hadapan orang yang dipujinya. Pengajaran dari hadis sudah tentu jangan terlalu banyak memuji orang dihadapannya walalupun pujian itu adalah BENAR DAN IKHLAS kerana ia tanpa disangka boleh membawa perasaan lupa diri, dan menghilangkan ikhlas dalam kerja-kerja yang dilakukannya. Kerana itulah sebuah hadis sohih menyebut :-

سمع النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ رجلًا يُثنى على رجل ويُطْرِيهِ في المِدْحَةِ، فقال أهلكتم ـ أو قطعتم ـ ظهر الرَّجل

Ertinya : Musa Al-Asyaary berkata : Rasulullah mendengar seornag lelaki memuji seorang lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu telah memotong diri lelaki tersebut" ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, tidak boleh dinafikan Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam situasi-situasi tertentu dan kepada individu tertentu. Situasi tertentu seperti :-

a- Orang yang kehilangan keyakinan diri dalam buat perkara baik. Tatkala itu, kita ungkit kebaikkan tindakannya untuk beri kembali semangat dan ada orang yang menghargai kerja baiknya.

b- Orang yang melakukan tugasan kebaikan yang sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala itu, boleh diberikan pujian atas keberaniannya dan berniat agar ia mampu dicontohi oleh orang lain.

c- Individu yang layak dicontohi dan diyakini punyai kekuatan iman yang baik dari tergoda dengan sifat ‘ujub (ta'ajub dengan kehebatan diri). Tatkala itu, harus memujinya dengan pengetahuannya. Tujuan utama agar orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan role model dan contoh ikutan. Hal ini jelas adalah nabi s.a.w memuji secraa terangan beberapa sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai ( Aminul Ummah ) individu yang paling jujur dari umat Muhammad, dan pujian kepada Umar al-Khattab r.a :

لو سلك عمر بن الخطاب طريقاً لسلك الشيطان طريقاً آخر

Ertinya : Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain ( kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya') ( Riwayat Al-Bukhari)

Dan juga sebuah lagi hadis :-

ما طلعت الشمس على رجل خير من عمر

Ertinya : Tiadalah terbitnya matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat dari Umar " ( Riwayat Al-Hakim, 3/96 ; Sohih isnadnya)

Hadis ini bersifat simbolik menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar r.a kepada umat Muhammad s.a.w. Sebenarnya terlalu banyak hadis-hadis yang menunjukkan pujian baginda kepada para sahabatnya terutamanya sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.

d- Kanak-kanak dipuji oleh guru dan ibu bapanya bagi merangsang minda dan keyakinan diri si kanak-kanak.

e- Pemimpin yang telus, adil, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t dengan kadar sederhana.

Walaupun semua jenis pujian dalam beberapa situasi seperti ini dibenarkan, si pemuji tidak tergolong dalam kategori yang dilarang oleh Islam. Satu lagi ingatan Nabi s.a.w bagi orang yang ingin memuji adalah :-

إن كان أحدكم مادحًا أخاه لا محالة فليقُل: أحْسَب كذا وكذا إن كان يَرى أنه كذلك، وحَسِيبُه الله، ولا يُزكِّي عَلَى الله أحدًا

Ertinya : Sekiranya ada dari kalangan kamu ingin tidak dapat untuk mengelak dari perlu memuji saudaranya, maka katakanlah : "Aku rasa akan dikira amalan sekian sekian yang dilakukannya..dan Allah akan mengiranya, dan tiadalah seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah ( Riwayat Al-Bukhari, no 2519, 2/946)

TUGAS MEREKA YANG DIPUJI

Seterusnya terpulang kepada orang yang dipuji untuk mengawal perasaan dalamannya agar menerima pujian dengan segera mengembalikan kepada izin Allah dan kuasaNya. Justeru, perisai ini akan dapat menghalang dirinya dari merasakan itu kehebatan yang diusahakannya semata.

Sebagai diajar oleh para sahabat Nabi apabila mereka dipuji, mereka akan terus berdoa secara rendah diri dengan doanya :-

اللهم لا تؤاخذني بما يقولون ، واغفر لي مالا يعلمون (واجعلني خيراً مما يظنون)

Ertinya : Ya Allah janganlah kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka, dan ampunkankan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (jadikanlah daku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan) (Riwayat Abi Syaibah, no 35703, 7/242 ; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)

Sehebat-hebat Nabi s.a.w yang berjaya membuka Mekkah pun tunduk dan menyerahkan pujian kepada Allah, dan demikian juga Zulqarnain sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Kahfi, kejayaannya membina tembok hebat dan kukuh dikembalikan kepada Allah.

Namun demikian, orang yang dipuji janganlah pula terlalu merendah diri secara salah sehingga mencerca diri secara terbuka apabila dipuji orang ramai. Ia tidak diperlukan, jika ingin menewaskan perasaan ujub di hati, cercalah diri secara sendirian.

Jangan juga tiba-tiba berterus terang menyebut diri tidak ikhlas atau apa jua yang merosakkan kepercayaan orang kepada diri.

Jangan pula berlebihan membawa kisah pujian kepada ramai orang lain kerana ia boleh membawa satu penyakit lain di kalangan pendengar pula iaitu HASAD DENGKI. Saya akan tuliskan satu artikel berkenaan kedahsyatan virus dengki dalam mayarakat kita selepas ini InshaAllah.

Jangan juga mengambil pujian itu secara serius dan berhasrat mendapatkannya lagi. Kerana sekali ia terbuku di hati sedemikian, ia akan merosakkan niat dan melemahkan kerja amal kepada pemburuan pujian manusia yang sementara.

Akhirnya, apabila tiada lagi pujian, tamatlah juga usaha kita. Lebih bimbang, usaha berterusan tapi tamatlah catatan amal dan pahala di sisi Allah kerana dilakukan kerana manusia. Nauzubillah.

Sekadar itu artikel ringkas untuk ingatan diri saya dan rakan-rakan. Terutama mereka yang kerap dipuji. Ingatan juga buat mereka yang ringan tangan dan lidah memuji, bukannya niat saya agar anda stop memuji mereka yang layak.

Bukan juga niat saya untuk motivasikan anda untuk terus dan asyik memuji tanpa memikirkan kebahayaan kepada diri yang dipuji dan diharap turut fikirkan orang lain yang mendengar dan membaca pujian-pujian, ada yang mudah jadi cemburu secara tiba-tiba.

Terus terang, dalam dunia internet ini terdapat ramai bloggers yang kerap dipuji sehingga menimbulkan cemburu di sisi pembaca lain atau bloggers lain yang kurang popular. Ini menyebabkan ada kalangan mereka yang menghantar kecaman, kutukan kepada bloggers sbagi merosakkan minda dan kemampuan di bloggers menghasilkan tulisan yang baik. Bayangkan, sampai begitu sekali !!.

Akhirnya, benar terdapat nas yang menyebut bahawa pujian dan nikmat yang diperolehi oleh amalan solehnya seseorang (tanpa ia berniatkan untuk mendapat pujian) adalah merupakan satu nikmat awal dari Allah untuknya, namun kita perlu teringat bahawa terdapat individu yang telah menikmati pujian atas amalan baiknya di dunia ini mungkin akan terlepas dari pulangan nikmat di akhirat. Demikian intipati kata-kata khalifah Abu Bakar yang bimbang nikmat awal di dunia akan menghalang nikmat di akhirat. Itulah akibat terselit keinginan pujian dunia semasa lakukan amal soleh. Demikian berhati-hatinya Abu Bakar as-Siddiq. Allah Akbar !

Tidak dinafikan sedikit-sedikit penghargaan dan pujian perlu untuk merangsang terus menulis secara percuma, bekerja dan beramal untuk ummah, namun ia perlu dilihat secara berhati-hati.

Semoga Allah memelihara kita semua dari tersalah guna pujian yang sebenarnya manis buat hati untuk terus berjuang memartabatkan Islam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Wednesday, June 25, 2008

Suatu hari nanti.......

dulu ramai hina dan keji dia, cu
masa tu ramai kata dia babi, tenuk, tungau dan cipan, cu
tapi pemimpin agung kita tu buat derk aje
cakap la apa saja, dia pura-pura tido.. tak ambek pot
dia selamatkan duit negara kita ni berpuluh-puluh billion RM tiap-tiap tahun, cu
berkat kecekalan semangat Pak Lah menerima kejian
hari ni kita dah jadi bangsa angkasa, cu
hasil penjimatan Pak Lah dulu tu lah
hari ni kita setiap sorang dapat sebijik sekolah
tiap rakyat Malaysia disediakan kerajaan BN dengan hospital sorang satu
tiap-tiap kampung ada koridor masing-masing
kalau duit tu tak diselamatkan
takkan kerajaan mampu nak bagi semua tu untuk kita
habis gitu je lah kat tangki minyak rakyat2 yg bermentaliti subsidi
Eh cu... jgn lupa esok Hari Kesatria Agung Pak Lah
pi tido awal esok kita ramai-ramai nak sembah Tugu Pak Lah
jangan lupa..
sebab Pak Lah kita idup kat utan cu...sebab kita dah tak mampu nak tanggung kos sara hidup yg sentiasa meningkat.
dulu, arwah atuk nenek, nenek terpaksa makan ubi, sebab jepun melanggar tanah melayu cu, sekarang kita semua makan ubi, kerana perjuangan Pak Lah kepada rakyat cu....

heheeheheh .. agak2nye nie bleh tak kita citer kat cucu kita nanti .. heheheh

Mengapa harga minyak dinaikkan?

“Untuk kenaikan harga minyak kali ini. Penstrukturan subsidi yg dibayar menggunakan wang pos. Tahukah anda, Pos Malaysia adalah milik ECM-LIBRA, dan ECM-Libra adalah milik Khairi Jamaluddin menantu Pak Lah. Perancang strategik Pak Lah dari tingkat 4.

Bayangkan duit yg masuk ke dalam poket Khairy, setiap RM10 yg dibayar sbg subsidi.. 10 sen akan masuk ke poket sebagai komisen wang pos. Maknanya ada 6 juta kenderaan di malaysia dan setiap kenderaan akan dapat subsidi Rm 620, iaitu RM 6.20 komisen kepada Khairi. Untuk setiap kenderaan RM 6.20 X 6 Juta kenderaan = RM 37 200 000 setiap tahun.

Itu tidak termasuk bayaran setiap bulan terhadap VESEL dan Nelayan, juga menggunakan wang pos.

” Bayaran tunai sebanyak RM200 setiap bulan bagi setiap pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan. Bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan oleh vesel perikanan berdaftar di pusat pendaratan ikan di dalam negara. “Pembayaran akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Kabinet juga telah memutuskan pengusaha bot penumpang sungai akan diberi bayaran tunai sebanyak 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan,” kata Abdullah.”

Figure2 di atas tidak termasuk “Berapa bilion wang kerajaan akan menjadi simpanan tetap di Pos Malaysia dan berapa untung Pos Malaysia memperniagakan wang itu dengan keuntungan yang didepositkan ke tempat lain.”

Tuesday, June 24, 2008

Subsidi Petrol........

"Subsidi ialah social obligation dari kerajaan untuk kekalkan harga minyak dll.. Subsidi berasal dari duit dari rakyat yang membayar cukai pendapatan dan cukai-cukai yang lain. Duit rakyat yang dikumpul berbilion ringgit setahun. Duit rakyat seharusnya dipulangkan untuk rakyat untuk membantu rakyat sepatutnya semasa waktu kesusahan khasnya. Org ekonomi boleh congak dengan mudah. Kerajaan seharusnya jangan sebut fasal rugi kerana Petronas tidak pernah rugi. Kita sudah berpelajaran mudah sahaja membuat congak semua ini. Duit lebihan jualan minyak dengan harga yang mahal waktu ini boleh mengekalkan harga minyak sebenarnya. Kadang-kadang tertanya juga ke mana dan arah mana duit itu digunakan sebenarnya. Malangnya orang kampung khasnya yang Melayu yang tertekan teruk. Namun ramai yg tidak sedar". Sememangnya ramai masyarakaat kita yang tidak menyedari akan hakikat dan hak kita juga mereka yang sebenar. Tapi, insyaAllah kalau kita semua sama-sama sedarkan masyarakat kita akan hak dan tanggungjawab serta peranan yang harus kita mainkan, dengan izinNya kesamarataan, kestabilan akan tercapai dan penindasan tidak akan berlaku... insyaAllah.....


Petrol oh Petrol.........

Rakyat Malaysia membayar petrol sebanyak RM2.70 seliter, lebih murah berbanding rakyat Singapore yang membayar sebanyak RM5.20 seliter.
Ironinya, pendapatan perkapita Malaysian ialah USD5000 manakala pendapatan perkapita Singaporean ialah USD25000
Harga petrol di Thailand ialah RM3.90 seliter, tetapi adakah kita sedar bahawa harga kereta di Thailand lebih murah RM10,000 berbanding kereta di Malaysia? Rakyat Thailand hanya membayar lesen memandu sekali seumur hidup. Tidak ada kos memperbaharui lesen memandu. Begitu juga dengan cukai jalan. Kita juga terlupa bahawa memandu di lebuh raya enam lines dari Hatyai ke Bangkok adalah percuma tanpa sebarang tol!

Apa yang kita rakyat Malaysia perlu bayar ialah: kos memperbaharui lesen memandu setiap satu, dua atau tiga tahun; cukai jalan setiap setahun atau enam bulan; dan juga tol setiap hari (atau setiap 5km)
Sering diulang bahawa rakyat Singapura membayar RM5.20 untuk seliter minyak. Kenapa kita tidak menyatakan harga dalam Singapore Dollar SGD kerana gaji mereka di dalam SGD dan bukannya MYR. Kenapa mereka tidak kata orang Perancis membayar RM12 untuk seliter minyak? RM5.20 = 2.20SGD, masih lebih murah berbanding Malaysia jika difikir bahawa Singapura bukannya Negara pengeluar minyak!
Mungkin ada menteri yang berfikir bahawa kalau kita berada di Singapura, kita boleh membayar petrol dengan Ringgit Malaysia. Mungkin mereka pernah mengisi RM100 petrol di Singapura dan mendapat 19.23 liter seterusnya mengatakan bahawa kalau mereka mengisi di Malaysia, mereka akan mendapat 37.04 liter!
Di dalam ekonomi, Dollar harus dibandingkan dengan Dollar. Ianya ibarat kita membandingkan Epal dengan Epal. Dan bukannya membandingkan bahawa buah Durian di Malaysia jauh lebih murah berbanding Durian di Jepun. Yang jelasnya, Jepun bukannya pengeluar buah Durian!
Perhatikan harga jualan petrol di Negara pengeluar petrol:

Kalau kita perhatikan, harga Toyota Vios adalah RM89,000..
Di pasaran antarabangsa, harga Toyota Vios ialah USD19,000.
USD19,000 = RM62,700. Ini bermakna pemilik Vios membayar lebihan RM26,300. Kos RM26,300 ini ialah kos operasi, keuntungan tambahan dan cukai kerana kos mengeluarkan sebiji Toyota Vios adalah USD19,000.
RM26,300 / RM625 rebate petrol setiap tahun bermaksud kita menggunakan Vios selama 42.08 tahun.
Kita faham bahawa kerajaan memberi rebate sebanyak RM625 setahun, tapi ianya juga bermakna bahawa seseorang perlu menggunakan Vios selama 42.08 tahun bagi mendapat kos sama yang dibayar untuk cukai kerana menggunakan kereta bukan Nasional.
Adakah kita akan menggunakan kereta yang sama untuk 42 tahun?
Dan sekarang, apabila anda melihat nombor-nombor di atas, adakah ialah adalah subsidi atau penalty? Ianya adalah peningkatan kos, bukan sahaja kos untuk memiliki kereta, malah kos untuk mengerakkan kereta. Harga Coca-Cola 1.5 liter ialah RM3, manakala harga minyak untuk 1.5liter adalah RM4.05.. Jelas bahawa kereta kita lebih banyak minum berbanding kita sendiri!

Cukai kereta adalah keuntungan untuk kerajaan. Penjualan petrol adalah keuntungan Petronas (GLC) yang juga ditafsirkan sebagai keuntungan kerajaan. Kerajaan mungkin cuba mengubah tanggapan kita dengan memaksa kita memerhati kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Ramai di antara kita tertipu, tapi kalau anda berfikir ketika membaca artikel ini, apa yang kita baca di media utama adalah sekadar racun.
Kita sedar bahawa kos minyak di harga antarabangsa ialah USD130 setong. Kita sedar bahawa harga minyak dunia naik setiap hari. Persoalannya, kenapa saintis antarabangsa masih bertentangan pendapat dengan kenaikan harga minyak? Ramai menyalahkan Bush dan kumpulannya di seluruh dunia, ramai menyalahkan perubahan cuaca dunia, dan ada yang menyatakan bahawa perigi minyak semakin mengurang hasilnya.
Supaya lebih jelas, kita ringkaskan dengan angka.
1 tong = 159 liter x RM2.70/liter = RM429 ataupun USD134
Kita disogok bahawa kita membayar sepenuhnya harga minyak. Mungkin kita tidak sedar bahawa setong minyak mentah hanya menghasilkan 46% petrol.
1 tong minyak mentah = 46% petrol (atau separuh).
Maka,
2 tong minyak mentah = menghasilkan 1 tong petrol.
Dengan kata lain, setiap kali kita menjual dua tong minyak mentah, kita akan membeli balik satu tong petrol. Malaysia menjual 2 tong minyak mentah pada harga USD130 setong dan membeli balik petrol pada harga USD134 setong.
Secara teknikalnya,
Malaysia menjual 2 tong minyak mentah pada harga USD130 setong = USD260 = RM858
Malaysia membeli balik 1 tong petrol pada harga USD134 = RM442 setong
Kita mendapat lebihan USD126 = RM416 setiap 2 tong yang dijual dengan cara mengeksport vs mengimport satu tong petrol.
Maka, kita mungkin baru tersedar bahawa kerajaan kita membuat keuntungan sebanyak USD126 untuk setiap tong yang kita import. (Nilai ini adalah nilai kasar tanpa mengira kos import/eksport dan lain-lain kos)
Analisis lain:
1 tong minyak mentah = 159 liter
46% daripada tong minyak mentah = petrol yang kita guna untuk kereta kita.
46% dari 159 liter = 73.14 liter
73.14liter x RM2.70 seliter = RM197.48 petrol setong berdasarkan setong minyak mentah. Ini baru 46% dari satu tong. Berdasarkan USD1 = RM3.30, kita akan tahu bahawa setong minyak mentah menghasilkan petrol bernilai USD59.84 (46% dari setong)
USD59.84 dari USD130 setong tetap juga menghasilkan 46% dari satu tong.
Baki 54% adalah bitumen, kerosene, gas asli, gas natural dan lain lain. Baki USD70.16 tidak diambil kira.
PErsoalannya, di manakah perlunya subsidi jika kita hanya membayar 46% dari setong minyak, dan hanya 46% dari setong itu yang digunakan? BUkankah ianya bermaksud kita sudah membayar pada harga penuh sejak sekian lama?
Sebenarnya, kita akan tetap membayar untuk semua ini kerana mereka masih mengenakan bayaran dengan cara mewujudkan fuel surcharge oleh syarikat penerbangan, kita tetap menbayar cukai jalan untuk membina jalan (dan plaza tol) kerana jalan dibina dari tar dan bitumen, dan lain lain bayaran yang sememangnya gagal ditulis di dalam kertas.
Setiap kali saya memberitahu pelanggan bahawa kos melancong meningkat disebabkan kenaikkan harga petrol, saya bernasib baik kerana mereka tidak berfikir seperti saya. Bayangkan kalau tetiba pelanggan bertanyakan apakah kaitan dengan kenaikan petrol dengan kenaikan harga tiket kapal terbang kerana kapal terbang menggunakan kerosene.
Dan sekarang, ahli politik yang tinggal di Putrajaya perlu ke Parlimen beberapa hari seminggu, sejauh 60km sehala, dan seterusnya mendapat ‘ganti rugi’ untuk kos petrol dan tol mereka daripada cukai yang rakyat bayar.
BEtapa kelakarnya apabila kerajaan mengumumkan pembahagian rebate sebanyak RM625 untuk setiap kereta di bawah 2000cc. Ironinya, seorang kerani yang memandu Iswara berharga RM10k akan mendapat RM625 setahun sedangkan anak manja menteri yang memandu Satria Neo, Swift, Jazz, Civic 1.8, dan 6 kereta lain lagi yang kesemuanya bernilai RM2juta tetapi tetap di bawah 2000cc akan mendapat RM6250 setahun.
Adakah konsep Subsidi kita adalah tepat?
Kenaikkan 40% harga petrol meningkat kos petrol saya sebanyak RM245 sebulan, tanpa mengambil kira 99% barangan kegunaan harian yang juga meningkat sebanyak 40%.. Mungkinkah perlu MinHomestay dinaikkan harga kepada RM60 semalaman sedangkan petrol tidak digunakan dengan alasan Tuan Rumah juga membeli petrol?
Adakah ianya juga bermaksud bahawa pendapatan Perkapita rakyat Malaysia dan pendapatan bulanan perlu dinaikkan 40% supaya sejajar?
Kita diberitahu bahawa kerajaan cuba membantu rakyat dengan memberi subsidi. Dan apa yang mereka lakukan sebelum ini menyebabkan kerajaan terpaksa memberi subsidi RM56billion setahun.
Fikirkan:
Abu ialah seorang nelayan. Dia menangkap ikan di tepi sungai menggunakan jala dan menjual ikan tersebut pada harga RM10 sedangkan harga pasaran ialah RM15. Katanya kosnya ialah 0, kemudian Abu menjual kepada anda sambil mengatakan bahawa harga sebenar ialah RM15, dia memberi subsidi RM5 dan akhirnya di rugi RM5.
PErsoalannya, adakah Abu mendapat untung sebanyak RM10 atau rugi sebanyak RM5 yang dianggapnya sebagai subsidi?
Jawapannya:
Bak kata Nabil, Lu Pikirlah Sendiri!
Adakah Kerajaan menaikan harga petrol sekadar untuk mengekalkan keuntungan satu pihak?

KELEBIHAN BULAN REJAB

Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah
muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. Sabda Nabi s.a.w.:
Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan
umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya'aban dengan malam
NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya. (Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).

* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang
menghalangkan dia keneraka (panjangnya setahun perjalanan).

* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada
penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.

* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.

* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.

* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP
DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian
di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di
dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di
hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah
lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya
(pembaharuan umur). Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur'an atas
segala Qalam. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun
dan diberi minum air dari Syurga. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan
dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari
kiamat. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat
seumurnya. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti
puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang
meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah
tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sesiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai
bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu
kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab
seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan
seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah
daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah
jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun
oleh mereka kepada Umat Muhammad. Allah menjawap: Telah aku ampunkan
mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan
petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya
daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian
Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu
dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau
terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan
antarakau".(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika
disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari
ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan
Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga
Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya
(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun. Diampunkan baginya 70
dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya
daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang
suhuf (ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah,
kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu maka
Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang
beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya
dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan
dengan BULAN ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

nantikan pada 7 Julai ini......
semoga kita sama2 m'dpt manfaat.... Rose.gif ThanxSmiley.gif
wassalam

Thursday, June 19, 2008

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

KHUTBAH JUMAAT

" BERBAKTI KEPADA IBU BAPA MENJAMIN KEBERKATAN HIDUP "

( 20 Jun 2008 / 16 Jamadil Akhir 1429H )

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang soleh dan menjadi contoh terbaik kepada keluarga dan masyarakat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah " BERBAKTI KEPADA IBU BAPA MENJAMIN KEBERKATAN HIDUP " .

Sidang Jumaat yang dihormati,

Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa. Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.

Lebih menyedihkan terdapat ibu bapa yang telah ditempatkan di rumah kebajikan ini merayu kepada anak-anak supaya mengambil mereka kembali untuk tinggal bersama tetapi tidak diendahkan. Selain itu terdapat juga anak-anak lebih memuliakan dan menghormati kawan-kawan dan sahabat handai berbanding dengan layanan kepada ibu bapa mereka.

Mimbar Jumaat pada hari ini menyeru umat Islam jangan mencontohi kisah layanan buruk ‘Alqamah terhadap ibunya yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dalam kisah ini , ‘Alqamah telah ditimpa sakit yang amat teruk dan tidak dapat mengucap ketika hampir saat kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah mengajarnya berkali-kali sehinggakan Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan apa hal sebenarnya yang berlaku.

Ibu ‘Alqamah telah menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa dia marah kepada anaknya kerana anaknya lebih mengutamakan isteri lebih daripada ibunya sendiri. Lihatlah sidang jamaah sekalian, walaupun ‘Alqamah adalah seorang yang sangat taat dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT, rajin bersolat, berpuasa dan bersedekah tetapi disebabkan kemarahan ibunya Allah SWT telah menutup lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : " Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras. "

Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam surah Lukman ayat 14:

Maksudnya : " Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu ".

Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.

Sidang Jumaat yang dikasihani,

Sesungguhnya tanggungjawab anak-anak terhadap kedua orang tua bukanlah hanya dilakukan semasa hayat mereka masih ada sahaja tetapi berterusan walaupun mereka telah meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan bakti mereka dengan pelbagai amalan seperti memperbanyakkan istighfar dan berdoa untuk mereka, bersedekah, membayar segala hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Selain itu menghubungkan silaturahim dengan teman-teman dan kaum kerabat serta orang-orang kesayangan ibu bapa juga merupakan salah satu cara berbakti yang boleh kita lakukan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar hari ini sekali lagi menyeru supaya kita beristiqamah dalam berbuat ihsan kepada ibu bapa supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna di dunia ini. Jika kita gagal berbuat demikian, maka di kemudian hari kita akan menerima nasib yang sama. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : " Berbaktilah kepada orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka . "

Fahamilah hakikat bahawa setiap kita adalah anak dan setiap kita juga akan menjadi ibu dan ayah. Oleh itu berlaku ihsanlah kepada ibu bapa agar setiap anak yang akan menjadi ibu dan bapa, akan dikasihani dan disayangi oleh anak-anak pula. Mimbar yang mulia ini bimbang jika ibu bapa kita hidup dalam keadaan terbiar, maka kemungkinan besar anak-anak yang akan menjadi ibu dan bapa juga akan turut terbiar dan tidak dipedulikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 7 :

Maksudnya : " Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga ".

Tuesday, June 17, 2008

Assalamualaikum.w.b.t.............
untuk semua pelayar-pelayar internet yang melayari blog ini.............
saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk membaca sedikit sebanyak info dan maklumat yang akan saya muat turunkan untuk anda semua....
walaupun blog ini akan mengitarkan bahan-bahan yang berbentuk rentetan aktiviti dan perlakuan saya seharian. namun saya akan juga meluangkan masa sedikit untuk menulis beberapa artikel yang mana saya kira logik dan relevan untuk tatapan semua. sekian dulu dari saya.........

Monday, June 16, 2008

Assalamualaikum.w.b.t..........