Monday, May 23, 2011

Sekolah Kluster

Penubuhan Sekolah Kluster terkandung dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Pewujudan Sekolah Kluster adalah berdasarkan pendekatan kedua PIPP iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Tinjauan literatur menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar negara untuk peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.

Definisi
Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

Tujuan
Sekolah Kluster diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia.

Pelaksanaan
Terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah:-
Jawatankuasa Pemilihan Sekolah
dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Panel Penasihat
dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad
Jawatankuasa Pelaksana
dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah)
Pelaksanaan sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumi, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.

Kriteria pemilihan
Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:
Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta
Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG)
Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:

Prasyarat Pertama
Pengukuran Standard Sekolah:
Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya Taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)

Prasyarat Kedua
Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Menengah)
Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam PMR dan SPM 3 tahun berturut-turut:
SBP : GPS 2.5 dan ke bawah
SMKA : GPS 3.0 dan ke bawah
SMT : GPS 4.0 dan ke bawah
SM Harian : GPS 4.0 dan ke bawah
Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah):
Sekolah Rendah Harian : 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam UPSR, atau
Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan; atau
GPS UPSR : 2 dan ke bawah

Syarat pemilihan
Kecemerlangan murid dalam aspek:
Akademik
Kokurikulum
Sahsiah
Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
Keberkesanan pelaksanaan program KPM
Sekolah berwatak
Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilihan adalah seperti berikut:
Langkah 1: Penerimaan pencalonan
Langkah 2: Penilaian menggunakan instrumen SKPM dan Annex
Langkah 3: Penentuan standard (standard fixing) oleh JK Pelaksana Sekolah Kluster
Langkah 4: Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional
Langkah 5: Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat
Langkah 6: Pengumuman oleh YB Menteri Pelajaran

Pengurusan Sekolah

Pimpinan
Pemimpin sekolah kluster ialah:
Pengetua/Guru Besar (DG52/DGA 36)
Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang
Jawatan: school-based post

Guru
Guru-guru sekolah kluster pula:
Memenuhi kriteria Guru Cemerlang
Prestasi mereka akan menentukan sama ada mereka kekal mengajar di Sekolah Kluster.
Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut niche areas sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan
Nisbah kelas: guru ialah 1:2

Pemilihan Pelajar
Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster:
Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
Ujian saringan sekolah

Akauntabiliti
Akauntabiliti Pemimpin Sekolah berpandukan:
Key Performance Indicator (KPI)
Pengurusan sumber manusia dan fizikal
Sumber kewangan
Pembangunan profesionalisme staf
Program kurikulum dan kokurikulum berkesan
Lulusan sekolah berkualiti: pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.
TOR Sekolah Kluster

Autonomi
Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah berbentuk:
Umum (untuk semua sekolah)
Khusus (mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan niche areas).
Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada:
Pematuhan piawai yang berikut:
Akta Pendidikan 1996
Sistem Pendidikan Kebangsaan
Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan dan Garis Panduan dan Surat-surat Siaran
SKPM
Senarai Bidang Autonomi:
Pengurusan Sekolah
Pengurusan Sumber Manusia
Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum

Jaminan kualiti
Bagi memastikan sekolah kluster sentiasa mempertingkatkan standard kualiti, jaminan kualiti di sekolah kluster akan menggunakan mekanisme kawalan luaran dan kawalan dalaman.
[sunting]Peranan agensi lain
Sekolah Kluster akan memperluas peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG, Lembaga Pengelola, Alumni dan NGO dalam aspek:
Biasiswa
Kewangan/Dana
Program Kecemerlangan Akademik
Program Kecemerlangan Kokurikulum
Program Kerjaya

Impak
Sekolah kluster akan memberi impak yang positif kepada pendidikan negara dari segi:
Program Kecemerlangan Kokurikulum
Program Kerjaya
Pelajar sekolah cemerlang secara keseluruhan (holistic) dalam sistem: 5.8% daripada 5.2 juta pelajar
Lepasan sekolah kluster diterima masuk universiti ternama luar negara
Badan korporat dan agensi kerajaan berkeyakinan menaja pengajian lepasan sekolah kluster
Menyediakan asas kukuh melahirkan peneraju utama agen perubahan
Sebanyak 300 buah sekolah diiktiraf antarabangsa (3.1% daripada 9663 sekolah)
Model piawaian kepada sekolah dalam dan luar negara
Pemimpin berkualiti (3.1% daripada 9663 sekolah) dan guru yang cemerlang (6.9% daripada 350,000 guru)
Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan di Malaysia.

Cabaran baru kepimpinan sekolah melalui Baiah (New Deal)

KUALITI pengetua dan guru besar adalah penentu kepada program Tawaran Baru atau Bai’ah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 di Putrajaya baru-baru ini. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan cabaran baru kepada pengetua dan guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang.
Konsep Bai’ah ini amat mudah. Sekiranya prestasi sekolah melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk kewangan. Jumlahnya amat menarik iaitu mereka layak menerima RM7,500 seorang. Sementara itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain diberikan RM900 seorang. Nama pengetua dan guru besar yang layak akan diumumkan pada pertengahan tahun ini.
Inisiatif ini ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan di bawah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA). Apa yang jelas, tawaran ini akan membuka satu lembaran baru kepada tanggungjawab pemimpin dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengetua dan guru besar bukan setakat menduduki kerusi teratas dalam hierarki organisasi sekolah, tetapi kualiti mereka akan menentukan sama ada sekolah yang mereka terajui berada di tahap cemerlang.
Mereka tidak lagi dianggap sebagai pentadbir sekolah semata-mata tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu membangunkan sumber manusia. Guru dan pelajar menjadi aset utama yang perlu dibangunkan keupayaan dan kebolehan mereka ke tahap maksimum supaya dapat berkongsi membangunkan sekolah ke arah kecemerlangan.
Pengetua dan guru besar yang berkesan akan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin instruksional dan pemimpin komuniti yang cekap. Faktor kejayaan sekolah bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan kokurikulum tetapi dinilai dari segi kejayaan sekolah membentuk pelajar yang holistik, serba boleh dan memiliki sahsiah terpuji. Keupayaan mereka untuk mempengaruhi ibu bapa supaya turut terlibat dalam aktiviti sekolah merupakan satu bonus dan kualiti pemimpin yang diperlukan.
Bai’ah ini mula diumumkan oleh Menteri Pelajaran semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei tahun lalu di Kuantan, Pahang. Selepas itu, ia menjadi topik utama perbincangan para pengetua dan guru besar dan ramai daripada mereka telah mengambil langkah awal bagi menyahut cabaran tersebut. Ini terbukti apabila penilaian dilakukan, didapati sebanyak 12.1 peratus sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang telah ditetapkan walaupun sasaran awalnya hanya dua peratus.
Pencapaian yang membanggakan itu menunjukkan bahawa tiada sempadan atau halangan untuk meraih kejayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadikan sekolah mereka cemerlang sekiranya ada kemahuan dan diusahakan bersungguh-sungguh. Atau dengan kata lain, jika ada kemahuan di situ ada kejayaan. Apa yang penting ialah pendekatan dan strategi dirancang dengan teliti dan dapatkan sokongan daripada semua warga sekolah untuk berkongsi matlamat yang telah ditetapkan.
Apakah bentuk pengukuran untuk mendapatkan ganjaran tersebut? Setiap sekolah di seluruh negara akan dinilai melalui skor komposit iaitu 70 peratus melalui keputusan peperiksaan awam. Sementara 30 peratus lagi dinilai terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah, termasuk mengendali urusan kewangan. Selain itu, pencapaian pelajar turut dinilai melalui anugerah akademik dan pencapaian dalam kokurikulum. Ini termasuk ‘outcome‘ yang mengambil kira dari segi kejayaan bekas pelajar sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut. Penilaian ini dibuat secara terperinci melalui kaedah Standard Kualiti Pendidikan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sekolah.
Apa yang menariknya, Bai’ah ini memberi peluang kepada semua jenis dan lokasi sekolah untuk menyertainya. Pencapaian yang disasarkan bukan khusus untuk sekolah yang sedia terkenal tetapi boleh disertai sekolah luar bandar dan pedalaman. Bagi sekolah-sekolah ini, penilaian akan mengambil kira tahap lonjakan peningkatan pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Disarankan bagi menjayakan program ini, pengetua dan guru besar mestilah berfikiran positif. Anggaplah Bai’ah ini sebagai usaha pihak kementerian untuk mengangkat kualiti dan kecemerlangan sekolah. Sesungguhnya, semua sekolah di negara ini telah disediakan dengan keperluan asas yang mencukupi seperti kemudahan infrastruktur, bilangan guru terlatih, staf sokongan, keperluan kewangan dan peralatan sekolah untuk kegunaan pengajaran.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah supaya apa yang telah disediakan itu digembleng secara berkesan hingga ke tahap maksimum. Sekolah adalah sama seperti organisasi lain yang perlu diurus dengan baik dan teratur. Dengan itu, pengetua dan guru besar hendaklah melengkapkan diri mereka dari aspek strategi pengurusan dan pentadbiran terkini. Ini boleh dilakukan dengan menghadiri kursus, latihan, lawatan sambil belajar, membanyakkan pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang berpengalaman.
Membangunkan sumber manusia merupakan satu lagi cabaran kepada pihak pengurusan sekolah. Sebenarnya, guru-guru yang terlatih dan berpengalaman merupakan aset penting yang perlu digembleng sepenuhnya. Mereka boleh memberi sokongan kuat kepada visi dan misi sekolah sekiranya diberi peluang dan tenaga mereka diurus dengan baik.
Pada masa ini, pendekatan pengurusan yang terlalu keras dan rigid sudah tidak sesuai lagi. Oleh itu, pendekatan yang mesra, terbuka, telus dan saling hormat menghormati di antara ketua dan pengikut perlu diamalkan dalam urusan seharian.
Satu lagi faktor penting untuk mencapai kejayaan ialah usaha meningkatkan kualiti guru. Peningkatan kualiti ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan budaya pemantauan dan pencerapan guru di dalam bilik darjah sebagai amalan harian. Dengan ini memudahkan bimbingan dan tunjuk ajar diberikan terutama kepada guru-guru baru. Bagi memantapkan kualiti guru, program berbentuk kursus dan latihan dalaman hendaklah sentiasa dianjurkan terutama untuk memperkenalkan kaedah pengajaran baru hasil ledakan maklumat dan kecanggihan ICT.
Matlamat untuk mewujudkan sekolah cemerlang tidak akan tercapai jika tidak mendapat kerjasama pelajar. Justeru, visi dan misi sekolah perlu dikongsi bersama supaya semua pelajar dapat memahami dan mengamalkannya. Mereka hendaklah diberitahu bahawa usaha untuk menjadikan sekolah mereka cemerlang sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka juga.
Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kemahiran dan latar belakang yang ada pada mereka boleh digunakan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti.
Sumbangan kewangan daripada ibu bapa merupakan sesuatu yang signifikan dan bermakna kepada sekolah. Sebenarnya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan jika sekolah mempunyai sumber kewangan yang besar. Semua ini dapat dilaksanakan sekiranya pengetua dan guru besar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi ibu bapa.
Kesimpulannya, ganjaran dalam bentuk kewangan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru melalui Bai’ah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajaran melihat ada persaingan dalam kalangan pengetua dan guru besar untuk memajukan sekolah masing-masing.
TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah Bekas Ketua Pengarah Pelajaran