Friday, January 29, 2010

Warga asing

Sekarang ni semua orang heboh tentang pendatang asing membanjiri Malaysia. Kalau naik train awam, boleh dianggarkan 70% daripada penumpangnya adalah warga asing. Itu tak termasuk bas-bas awam. Sampaikan ada sejenis bas awam ni orang tempatan takut nak naik sebab dipenuhi warga asing. Akibatnya orang tempatan mula membenci kelompok warga asing yang kononnya mengganggu dan menyesakkan negara kita.
Tetapi tahukah anda, itulah yang dinamakan globalisasi. Pertembungan budaya memang telah berlaku di seluruh dunia semenjak zaman nenek moyang hingga kini. Sebagai contoh, dalam tahun 2000, penduduk Asia telah melebihi orang kulit putih di San Francisco menjadikannya bandar raya kedua di Amerika yang majoriti penduduknya ialah penduduk Asia selain Honolulu. Sebelum tahun 2030, setiap satu daripada empat orang warga Amerika adalah Hispanic dan bakal menjadikan mereka majoriti penduduk Amerika Syarikat. Tambahan, jangan terkejut kerana Presiden Peru adalah keturunan Jepun. Kita tidak dapat mengelakkan globalisasi. Kewujudan pendatang asing akan memberi kesan yang lebih serius kerana anak-anak mereka DILAHIRKAN di Malaysia. Bayangkan apa akan berlaku apabila anak-anak warga asing MEMBESAR di bumi Malaysia? Mungkin kita boleh menyorot kembali sejarah bagaimana orang-orang cina dibawa ke Tanah Melayu untuk dijadikan buruh melombong bijih timah. Atas desakan hidup dan penderitaan menjadi buruh menjadikan orang-orang cina mendidik cucu cicit mereka agar gigih berusaha dan bekerja keras serta WAJIB menceburi perniagaan. Lihatlah, siapa yang menguasai ekonomi negara kita sekarang? Mahukah kita lebih ditindas oleh bangsa asing yang lain pula? Kedatangan mereka sukar dikawal dan globalisasi tidak boleh dielakkan, lantaran itu kita sebagai warga tempatan lah yang perlu bertindak memperkasakan ekonomi dan bangsa kita sendiri. Jangan harapkan warga asing ini dihalau balik ke negara mereka kerana hal ini tidak akan berlaku! Jangan mengaku kalah dan hanya menuding jari kepada pihak berkuasa atau warga asing ini. Bangunkanlah bangsa kita agar kita tidak merempat di negara sendiri! Wassalam…

Malays Rather Have Pleasure Than Pressure?

Buat renungan bersama.....................

Di mana boleh cari ramai Melayu
Pastinya di Kelantan dan Trengganu
Dan juga di pasar malam dan pasar minggu
Di Akademi Fantasia dan Pesta Lagu
Di Jom Heboh orang Melayu berpusu-pusu
Di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu
Dan di jalan, lumba haram tak buka lampu
Dan di selekoh duit rasuah depa sapu
Di pusat serenti akibat ketagih dadah dan candu
Di malam kemerdekaan dan malam tahun baru
Terkinja-kinja best giler menari macam hantu

Apa hobi orang Melayu
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Berlepak buang masa tak jemu-jemu
Atau baca majalah Mastika cerita hantu
Tengok telenovela dari Filipina dan Peru
Sambil makan junk food kacang dan muruku
Mana tak gendut berpenyakit selalu
Kalau nak berlagak melayu nombor satu
Asal bergaya sanggup makan nasi dan toyu

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu
Ada tapi kurang sangat ke situ
Kenapa Melayu jadi begitu
Nak salahkan sapa ibubapa atau guru
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu
Ayat lazim di mulut ialah malas selalu
Nak harap kerajaan saja bantu
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Tak habis-habis gaduh nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu

Sampai bila kita nak tunggu
Bangsa Melayu jadi bangsa termaju
Boleh, dengan beberapa syarat tertentu
Pertama dengan banyak menguasai ilmu
Kata nabi ikutlah al Quran dan sunnah ku
AlQuran yang diturunkan 1400 tahun dulu
Tapi apakah yang kita tahu,cuma baca nak halau hantu

Wasallam

Nota: Jika benar orang Melayu begini, apa kah perubahan-perubahan yang patut kita buat? Fikir-fikirlah bersama untuk membela nasib anak bangsa di masa hadapan.

Monday, January 25, 2010

Hati mudah berubah, iman turun dan naik...

Tajdid Iman: Perbanyak amalan wajib, sunat mantap kualiti iman

RAMAI hamba Allah yang mengeluh: “Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Sekejap kuat membara sengatan iman di hati, tetapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan Islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya.

Begitulah keadaan hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas akhirnya. Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman seperti dia melindungi hartanya atau popularitinya supaya tidak musnah.

Antara tanda punca kelemahan iman seorang hamba yang menyebabkan dia tersungkur di lembah dosa ialah:

# Ibadat tidak berkualiti. Sesiapa yang berasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng daripada jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsu syahwatnya, kembalilah semula ke jalan Allah supaya dia dicintai Allah.

Bawalah dua bekalan asas iaitu ibadat wajib dan sunnah. Mungkin ketika iman lemah dia tidak sama sekali meninggalkan kewajipan tetapi ibadatnya itu kurang berkualiti dan sedikit jumlahnya. Padahal, iman diukur menurut amalan wajib dan sunat yang boleh melahirkan jiwa hamba dekat kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah.

# Hati yang tidak khusyuk. Awal kerosakan amal ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit itu akan bertambah teruk apabila ia meninggalkan karat kemalasan ketika beribadat. Berjumpa dan berhubungan dengan Allah tanpa wujud perasaan seolah-olah kosong dan hampa. Dia melakukannya sekadar mendirikan kewajipan saja, tetapi tiada kemanisan ibadat.

Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Sahabat membiasakan diri dengan sujud yang panjang pada akhir malam seperti mana sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW.

Baginda memanjangkan sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat paling dekat seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.

# Berlebihan dengan perkara yang mubah. Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kesyukuran kepada nikmat Allah Taala.

Akan tetapi, perkara sebegini kadang-kadang membuat kita leka. Jika berlebihan segala aktiviti untuk memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat perjuangan. Mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.

# Tidak menghadiri majlis ilmu. Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya?

Semua itu memerlukan jawapan yang pasti tetapi manusia yang lemah iman sudah kehilangan matlamat hidupnya. Untuk mendapatkan kembali pedoman hidupnya supaya tidak tersalah jalan, dia perlukan hidayah iaitu ilmu Allah.

# Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan. Apabila iman menipis, lupa kepada Allah, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”

Mengingati Allah maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang termaktub di Lauh Mahfuz.

Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik mengenai keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri.