Friday, September 16, 2011

komunisme

DEFINISI KOMUNISME
Dalam konteks sejarah, komunisme membawa kepada maksud fahaman yang menolak pemilikan harta persendirian, dan sistem pasaran bebas atau kapitalisme berdasarkan rujukan kepada Kamus Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Manakala, komunisme mengikut konteks politik adalah yang hendak menjadikan semua harta dan barang-barang pengguna hak milik negara atau hak milik rakyat yang dirujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ketiga.

PENGISTILAHAN KOMUNISME
Komunisme merujuk kepada fahaman politik di mana rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk mentadbir negara dan segala produk keluaran negara menjadi milik bersama rakyat. Antara pengasasnya yang paling penting termasuklah Karl Marx dan Friedrich Engels. Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia II dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet. Sebagai teori kepada sistem sosial, komunisme menjurus kepada sistem sosial egalitarian iaitu tanpa kerajaan, harta dan kelas. Menurut ideologi ini, semua harta dimiliki oleh rakyat, dan setiap rakyat mempunyai status sosial dan ekonomi yang sama. Menurut fahaman komunisme lagi, agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat.

PENGENALAN
IDEOLOGI KOMUNISME
Ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain. Secara rasminya ada 9 buah negara yang pernah ditubuhkan berpegang dengan fahaman komunis:
1. Kesatuan Soviet (Kesatuan Republik Sosialis Soviet)
2. China (Republik Rakyat China)
3. Cuba (Republik Cuba)
4. Laos (Republik Demokratik Rakyat Lao)
5. Vietnam (Republik Sosialis Vietnam)
6. Korea Utara (Republik Demokratik Rakyat Korea)
7. Yaman Selatan (Republik Demokratik Rakyat Yaman )
8. Myanmar/Burma (Republik Sosialis Kesatuan Burma)
9. Kemboja/Kampuchea (Demokratik Kampuchea)

Walau bagaimanapun hanya 5 buah negara yang kekal memerintah di bawah komunis sehingga kini iaitu China, Laos, Vietnam, Cuba dan Korea Utara. Sungguh pun begitu fahaman komunis yang diperjuangkan dahulu sudah mula luntur dimamah usia selepas pencetusannya. Sebagai contoh, hal ini dapat dilihat di Negara China sendiri, polisi pemerintah China terhadap pelabur (kapitalis) yang dianggap musuh rakyat telah berubah semenjak 90-an lagi. Hal ini dapat dilihat dengan perubahan polisi kerajaan dan kewujudan kilang-kilang di negara China.
Walaupun ramai yang menganggap ideologi komunisme sudah lemah berikutan jatuhnya Kesatuan Republik Soviet pada tahun 1991, namun ideologi itu tetap wujud dalam bentuk sosialisme. Masih terdapat Parti Komunis di negara-negara lain seperti di barat yang memperjuangkan hak pekerja, pelajar dan bersikap anti-penjajah.
Pengasasnya adalah seorang Yahudi Jerman bernama Karl Marx. Beliau mengisytiharkan fahamannya pada tahun 1848. Dia menulis buku yang bernama Das Kapital pada tahun 1867. Pembantunya bernama Inakal. Kemudian, Lenin yang memimpin revolusi komunis di Rusia menubuhkan kerajaan yang berasaskan ajarannya. Seterusnya, fahaman ini diteruskan oleh Stalin yang menjadi pemimpin selepas Lenin. Antara pemimpinnya ialah Terutaski, Yahudi Rusia. Mengikut sejarah, ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain.
Sebagai kesimpulan daripada definisi diatas, dapat kita simpulkan bahawa fahaman komunisme adalah merujuk kepada satu fahaman yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Ia berdasarkan kebendaan semata-mata dan terbentuk hasil daripada tindak balas fahaman kapitalisme sebagai tanda aras kesamarataan dikalangan rakyat sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan ini. Antara pengasasnya yang paling utama dan terpenting termasuklah Karl Marx dan Friedrich Engels.

SEJARAH RINGKAS MENGENAI IDEOLOGI KARL MARX
Karl Marx dilahirkan pada 5hb Mei 1818 di Trier, sebuah bandar gereja besar di kawasan Rhineland Jerman. Ibubapanya merupakan penganut agama Yahudi, dan berketurunan dari beberapa generasi pendeta Yahudi. Nama keluarganya merupakan Mordechai, kemudiannya Markus, sebelum menjadi Marx. Namun, bapa Marx, Heinrich, telah menukar agama menjadi penganut agama Kristian Luther pada tahun 1817, untuk mengelakkan undang-undang yang menghalang kaum Yahudi daripada memegang kedudukan pejabat awam. Kawasan Rhineland, walaupun dirampas oleh keluarga di-raja Prusia yang reaksioner pada tahun 1815, kekal sebagai bahagian Jerman yang paling maju secara ekonomi dan politik, dan sangat dipengaruhi oleh Revolusi Perancis.
Idea-Idea Revolusioner Karl Marx muncul kali pertama pada tahun 1983, 100 tahun selepas kematiannya. Iklim politik sangatlah berbeza pada masa itu. Ronald Reagan telah menjadi presiden Amerika Syarikat. Margaret Thatcher masih berada dalam penggal pertama sebagai Perdana Menteri Britain. Di Britain, Parti Buruh sedang dipisahkan oleh pembahagian-pembahagian yang diwujudkan di antara tahun 1974 dan 1979. Pemisahan Parti Demokrasi Sosial sedang menarik parti itu semakin ke sayap kanan dan gerakan sayap kiri yang diketuai oleh Tony Benn semakin melerai. Permogokan Besar Pelombong-Pelombong pada tahun 1984-1985 masih berlangsung. Kekalahannya akan menjadikan kejayaan sayap kanan dalam Parti Buruh sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Dari segi antarabangsa, seluruh dunia masih berada dalam genggaman apa yang kadang-kala dinamakan Perang Dingin Kedua, iaitu masa tegang di antara blok-blok mahakuasa yang bermula pada tahun 1970. Rancangan NATO untuk membina generasi kedua peluru berpandu nuklear di Eropah Barat-akhirnya diluluskan pada musim luruh 1983 yang membangkitkan semula gerakan kedamaian pada skala besar-besaran. Selepas kekalahan pada bulan Disember 1981, gerakan pekerja Poland, Solidarnosc, rejim-rejim Stalinis di Eropah Timur kelihatan kukuh dan berkuasa. Di Rusia sendiri, Mikhail Gorbachev masih hanya merupakan bintang yang semakin bangkit dalam Politburo.
Maka, Marxsisme sebagai tradisi politik dan intelek dipaksa mempertahankan diri. Marxsisme mengikut skop akademik, dilemahkan oleh pemulauannya di universiti-universiti sepanjang tahun 1980an, memasuki tahap seterusnya dalam kemerosotan. Tahun 1980an telah menyaksikan kebangkitan ideologi selepas-modenisme yang melaungkan kematian segala kebenaran besar dan terutamanya ‘ulasan-ulasan besar,’ paling sekali Marxsisme, yang telah mencuba menenun segala sejarah manusia menjadi satu proses perkembangan. Dengan sayap kiri akademi berada dalam keadaan kucar-kacir, pihak selepas-modenis melaungkan diri mereka sebagai radikal sejati, walaupun mereka menolak mana-mana usaha untuk mengubah dunia melalui tindakan politik.
Secara politik, peristiwa-peristiwa tahun 1989/1991 telah menguatkan tangan mereka pada sayap kiri yang memperdebatkan bahawa tidak terdapatnya alternatif kepada kapitalisme pasaran. Parti Buruh Britain telah bergerak dalam arah ini. Bagi mereka, sosialisme adalah serupa dengan apa yang dipanggil oleh bekas pemberontak Poland, Adam Michnik sebagai “pasaran dengan muka manusia.” Begitulah mesej Parti Buruh sejak Tony Blair menjadi ketuanya pada bulan Julai 1994. Serangan berjaya Blair ke atas Fasal Keempat dalam perlembagaan parti tersebut, dengan kesetiaannya kepada pencapaian permilikan bersama ke atas cara-cara pengeluaran, menggariskan bahawa ‘Parti Buruh Baru’ tidak mempunyai hasrat untuk mengubah struktur kapitalisme di Britain. Semua ini mencadangkan bahawa aliran utama dalam pemikiran Marx-kritikannya mengenai kapitalisme sebagai sistem yang terbenam dalam pengeksploitasian dan tertakluk kepada krisis-adalah masih sah pada hari ini. Ini mengutarakan persoalan jika teori ekonomi Marxsis dapat hidup sambil seluruh tradisi yang ia merupakan sebahagian daripada cara hidup puak komunisme telah dinafikan oleh peristiwa-peristiwa bersejarah.
Marx menguasai perhatian kita kerana pemahaman pemikiran dia adalah asas bagi sesiapa yang menganggap dirinya sebagai seorang sosialis seperti Marx, untuk menghapuskan pengeksploitasian, kesengsaraan dan keganasan yang menjadi kebiasaan dalam sistem kapitalis. Terdapat 30 juta orang tanpa pekerjaan di dunia perindustrian Barat sendiri. Beberapa eksperimen sosialis telah berlaku di beberapa negara maju – Chile pada tahun 1970-1973, Portugal pada tahun 1974, Perancis pada masa ini. Kesemuanya telah gagal. Tidak satu pun mengambil langkah yang Marx pertimbangkan sebagai asas, iaitu untuk menghancurkan kuasa tersusun kelas kapitalis dan mendirikan di tempatnya kuasa pekerja yang baru dan lebih demokratik. Mana-mana sosialis serius tidak dapat mengabaikan pemikiran Marx, kerana di dalamnya terkandung segala persoalan yang mendesak kita pada masa ini-krisis-krisis dan pengangguran, revolusi dan reformasi.
Marx juga telah melancarkan perjuangan ideologinya di persada antarabangsa, terutamanya menentang pengikut-pengikut Proudhon. Ia merupakan kepada majlis umum pada bulan Jun 1865 yang Marx membaca syarahan-syarahan yang akhirnya menjadi risalah Wages, Price and Profit [Gaji, Harga dan Keuntungan], yang mana menunjukkan pertentangan dengan perdebatan-perdebatan John Weston, iaitu seorang pengikut Robert Owen, bahawa kesatuan-kesatuan pekerja dapat memenangi gaji yang lebih tinggi bagi para pekerja. Di Jerman, walaupun ADAV Lassall masih mundur, pembentukan Parti Pekerja Demokrasi Sosial di Eisenach pada tahun 1869, di bawah kepimpinan Wilhelm Liebknecht dan August Bebel, telah memberikan idea-idea Marx sokongan sebuah pertubuhan di negara asalnya buat kali pertama sejak pemisahan Liga Komunis hampir 20 tahun sebelum itu.
Kapital merupakan kejayaan terbesar Marx, karya terpenting dalam usaha hayatnya. Matlamatnya, seperti yang Marx mengatakan dalam Keterangan kepada Jilid 1, adalah “untuk mendedahkan hukum ekonomi bagi gerakan masyarakat moden”. Pemikir-pemikir ekonomi terdahulu telah menggenggam beberapa aspek pergerakan kapitalisme. Kini Marx telah mencuba untuk memahaminya secara menyeluruh. Sejajar dengan cara kajian dan konsep sejarah yang digariskan dalam dua bab sebelum ini, Marx telah mengkaji kapitalisme bukannya sebagai akhir sejarah, sebagai bentuk masyarakat yang sesuai dengan sifat manusia, tetapi sebagai cara pengeluaran bersejarah di mana percanggahan-percanggahan dalaman akan membawa kepada penumbangannya.
Ia mungkin membantu pembaca-pembaca yang tidak mahir dalam ‘sains melarat’ ekonomi (seperti yang ia dinamakan oleh Thomas Carlyle) untuk menggariskan inti tugasan ini. Ia bermula dengan batu asas Kapital, iaitu teori nilai tenaga pekerja, menurut mana komoditi-komoditi-yang dijual di pasaran-ditukar sejajar dengan masa tenaga pekerja yang diperlukan secara sosial untuk pengeluarannya. Pelbagai pihak mungkin memperdebatkan bahawa mengikut ukuran ini, Marxsisme perlu dinafikan. Aliran sejarah, mereka mendakwa, telah menafikan sepenuhnya pemikiran Marx. Kebanyakan ramalan Marx kononnya bercanggah dengan perkembangan-perkembangan selepas itu, dan malah di mana idea-ideanya telah berjaya, ia kononnya adalah dalam bentuk yang sangat berbeza daripada harapan dan ramalannya. Sememangnya, dalam gerakan pekerja sendiri, telah berlakunya beberapa ‘krisis Marxsisme,’ yang pertama beberapa tahun selepas kematian Engels pada tahun 1895, di mana kepentingan idea-idea Marx kepada masyarakat mutakhir telah dinafikan.
Ia adalah mudah untuk melupakan kewiraan yang terlibat dalam tugas yang Marx menyediakan bagi dirinya sendiri. Marx merupakan seorang yang sangat bijaksana. Seorang sezaman menggambarkannya semasa berumur pertengahan 20-an: “Bayangkanlah Rousseau, Voltaire, Holbach, Lessing, Heine dan Hegel tergabung dalam seorang…dan anda mempunyai Dr. Marx.” Jika dia menurut orang lain secara politik dan mengamalkan kerjaya akademi yang lebih biasa, Marx sudah pasti akan bangkit ke kemuncak pertubuhan intelek pada masa itu dan meninggal dunia dengan kaya serta terkenal. Sebaliknya, sepanjang hayatnya, Marx tetap setia kepada wawasan revolusi sosialis dan menyebabkan beliau dan keluarga diserang dan diintip oleh kuasa-kuasa polis separuh Eropah. Apabila Marx meninggal dunia, kematiannya tidak dihiraukan di negara penetapannya, England. Bahkan, akhbar Times hanya menyedari kematiannya dari akhbar Perancis.

CORAK KEHIDUPAN DAN DASAR-DASAR KOMUNISME
Mengikut Karl Marx dan pengasas sistem Komunisme yang lain, antara corak kehidupan dan dasar-dasar yang menjadi pegangan dan kepercayaan komunis adalah:
i. Tidak mempercayai adanya Tuhan dan perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin, dosa pahala dan sebagainya. Mereka menjadikan logik dan kebenaran sebagai asas kepercayaan semata-semata. Walaupun pengikut ajaran ini berbeza mengikut keadaan setempat, konsep ini tetap menjadi asas ajaran komunis. Oleh itu, komunis menentang semua fahaman beragama sekeras-kerasnya.
ii. Menentang pemilikan harta secara perseorangan. Berbanding kapitalis, mereka berfahaman segala kemewahan dan harta benda adalah milik semua. Seseorang pemilik tidak dibenarkan memiliki harta yang melebihi daripada harta orang lain. Apabila harta itu banyak, harta itu mesti menjadi milik negara dan menjadi milik orang awam.
iii. Menghapuskan kelas dalam masyarakat. Tidak ada kelas antara majikan dan pekerja. Mereka sanggup meluaskan fahaman melalui kuasa politik walaupun terpaksa menggunakan senjata supaya pemerintahan negara dikuasai oleh masyarakat buruh.
iv. Membentuk pemikiran rakyat supaya mengabdikan diri kepada negara semata-mata. Tidak ada prinsip beribadah kepada Tuhan kerana negara dan benda adalah tuhan yang disanjung dan dipuja.
v. Menafsirkan semula sejarah yang melibatkan pertarungan antara pekerja dengan majikan yang berakhir dengan kemenangan pekerja secara kekerasan.
vi. Berpegang pada kepercayaan tidak ada hari akhirat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Jelas melalui dasar-dasar ini, bahawa adalah semulajadi bagi ideologi Komunis, menerima teori evolusi Charles Darwin sebagai panduan, untuk menerima manusia lain sebagai haiwan, melayan mereka sama seperti haiwan, dan menindas mereka juga seperti haiwan. Kerana ideologi Komunis pasca-Darwin terlupa bahawa dia mempunyai seorang Pencipta, tujuan kewujudannya di muka bumi ini, dan bahawa dia akan dihisab di atas apa yang telah dilakukannya di hadapan-Nya pada Hari Perhitungan. Dan hasilnya, seperti kebanyakan mereka yang tidak berpegang kepada prinsip keagamaan, pengikut fahaman komunisme ini akan menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan kepentingannya sahaja, menjadi seorang yang kejam, membunuh dan menyekat kemaraan perjuangan hak-hak asasi kemanusiaan.
Dalam era masyarakat Barat tercari-cari satu ideologi baru yang sesuai bagi mereka di abad ini untuk terus memperkukuhkan cengkaman terhadap dunia, nampaknya fahaman komunisme telah menunjukkan ‘track record’ yang baik. Begitulah dahsyat penyelewengan dan manipulasi yang dilakukan oleh fahaman komunisme terhadap kemanusiaan. Demokrasi yang dilaung-laungkan hanyalah platform untuk 'mengkembirikan pandangan terhadap komunisme' ini, dan pergerakan yang mendokong demokrasi telah dinafikan hak walaupun suara majoriti telah menyebelahi mereka.
Peristiwa yang berlaku di China telah menunjukkan hakikat sebenar keadaan ini. Runtuhnya doktrin komunisme di Soviet Union tidak bermakna komunis telah dapat ditelanjangkan sepenuhnya oleh bentuk demokrasi moden, walaupun beberapa telah terlepas bebas daripada belenggu komunisme-seperti Afganistan, Chechan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Azerbaijan, Bashkiria dan sebagainya. Komunisme masih bertapak kuat di Rusia, Bulgaria, Poland, Rumania, Jerman Timur, China, Yugoslavia, Cuba, Albania dan Hungary pada waktu ini. Sementara di kalangan negara lain pula, komunisme masih membentuk partinya di Mesir, Iraq, Syria, Jordan, Palestine, Tunisia, Yaman dan beberapa negara lain. Dan sebilangan besar masyarakat lain juga masih terpengaruh dengan aliran falsafah tersebut.
Falsafah komunisme berlandaskan kepada atheisme, yang menjadikan materialisme asas segala-galanya. Negara adalah parti dan parti adalah negara. Slogan komunisme percaya kepada tiga - iaitu Marx, Lenin dan Stalin serta mengengkari tiga perkara iaitu ketuhanan, agama dan hak milik peribadi. Komunisme menganggap agama sebagai 'candu kepada masyarakat' dan justeru itu, semua agama diperangi kecuali Yahudi yang dianggap sebagai agama tertindas dan perlu dikembalikan hak-haknya yang telah dirampas oleh pihak lain.
Amal perbuatan pada doktrin ini tidak ada harga sama sekali dan segala perubahan yang terjadi adalah sebagai akibat yang pasti. Tidak ada dosa dan pahala bagi mereka. Begitu juga azab atau pembalasan di akhirat kecuali di dunia ini. Dikatanya bahawa moral adalah relatif dan moral adalah satu akibat daripada alat-alat produksi. Prinsip dan pegangan komunisme ialah 'tujuan menghalalkan cara' dan dengan berprinsip sedemikian, komunis berpendapat apapun perbuatan walaupun kejam demi mencapai apa yang diharapkan adalah dibolehkan. Kenyataannya, Lenin pernah mengeluarkan pendapat yang berbunyi: "Hancurnya tiga perempat dunia tidak menjadi persoalan dan yang penting sisanya seperempat lagi itu mesti menjadi komunis".
Falsafah inilah yang telah diterapkan di Rusia semasa berlakunya Revolusi Bolsheviks pada tahun 1917, selanjutnya di China dan beberapa negara lain seperti Bukhara, Samarkand, Afganistan, Chechan, Albania dan sebagainya dalam memperkembangkan doktrin komunis tersebut. Hasilnya berjuta-juta rakyat telah terbunuh dan ditindas semasa doktrin itu diperkembangkan selain daripada merosakkan harta benda awam.
Komunis juga memperakui kediktatoran, justeru mereka tidak segan melakukan penipuan, pengkhianatan serta pembunuhan demi melenyapkan lawan atau musuhnya, meskipun ia adalah dari anggota partinya sendiri. Rakyat diperintahnya secara 'kuku besi' dan kekerasan serta tidak ada kesempatan bagi rakyat untuk mengaktifkan daya berfikir. Semasa menduduki negara-negara umat Islam misalnya, komunis telah membinasakan sebahagian rakyatnya, merompak harta benda serta mencabul kehormatan agama dan ummah. Masjid telah dihancur atau dijadikan pusat-pusat hiburan, sementara slogan-slogan yang berpaksi kepada agama telah dimansuhkan.
Komunisme juga mempunyai hubungan rapat dengan Marxisme, sosialisme dan kapitalisme. Dalam soal ekonomi, komunisme mengamalkan falsafah kapitalisme iaitu menindas golongan pekerja dalam hal pemberian upah. Sementara dalam soal kemasyarakatan, ia mengamalkan falsafah Marxisme iaitu mengengkari ikatan kekeluargaan dan menghapuskan hak berwaris serta mengutamakan materialisme.
Penentangan terhadap komunisme adalah kerana fahaman ini hanya berpegang kepada falsafah kebendaan (material) dan faktor alam semulajadi. Komunis juga bertanggapan bahawa aktiviti kehidupan seharian manusia dan sejarahnya hanyalah berkisar kepada ekonomi atau produktiviti semata-mata.

CONTOH CORAK KEHIDUPAN DAN DASAR-DASAR KOMUNISME DI CHINA
Untuk menerangkan tentang corak kehidupan komunisme yang diamalkan, penulis telah membuat keputusan untuk membincangkan tentang corak kehidupan yang pernah diamalkan oleh negara China suatu masa dahulu sebagai rujukan dan contoh.
Dalam era pasca Mao Zedong, rentetan peristiwa yang telah dicatatkan di China telah menjadi salah satu daripada lakaran sejarah terburuk buat rakyat China. Kehadiran Mao Zedong yang mengamalkan dasar tertutup telah menyebabkan kemunduran yang amat teruk di kalangan rakyat China. Pembangunan-pembangunan yang telah diperkenalkan oleh beliau tidak mendapat sambutan dikalangan kepemimpinan di China.
Jika dilihat dari sudut yang meluas. Pembangunan dan pembaharuan yang telah dijalankan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ekonomi, politik dan sosial. Dalam fahaman komunisme, ia adalah fahaman yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan berdasarkan kebendaan semata-mata dan terbentuk hasil daripada tindak balas fahaman kapitalisme. Oleh yang demikian, Mao Zedong telah memperkenalkan beberapa siri rancangan untuk menghadkan jumlah pengeluaran pertanian. Beliau hanya membenarkan petani bercucuk tanam dalam jumlah yang tertentu dan perlu menyerahkan kepada kerajaan untuk dibahagi-bahagikan samarata kepada semua rakyat. Program-program kesihatan tidak dipantau dengan sempurna sehingga tersebarnya penyakit dan wabak dikalangan rakyat. Ini disokong oleh satu kajian yang telah dibuat semasa pemerintahannya yang mendapati kadar rakyat yang memerlukan khidmat kesihatan mencecah seramai 80% daripada polulasi rakyatnya yang sejumlah 400 juta penduduk dengan purata had umur penduduk hanyalah sekitar 35 tahun sahaja. Aktiviti pelacuran juga menjadi salah satu daripada masalah semasa era Mao Zedong memerintah China.
Di bidang pendidikan, hak-hak rakyat untuk mendapat pendidikan tidak dapat disediakan oleh Mao Zedong memandangkan keadaan negaranya yang miskin dan daif. Pembaharuan bidang ekonomi yang dibuat oleh Mao Zedong semasa pemerintahannya adalah berdasarkan kepada fahaman komunismenya. Melihat kepada dasar-dasar utama komunis yang mengelakkan campurtangan luar dalam urusan ekonomi negara, Mao Zedong juga bertindak sedemikian.. Mao Zedong mengamalkan dasar tutup pintu dan tidak memberikan laluan kepada golongan kapitalis meningkatkan percambahan ekonomi melalui perindustrian dan pertanian. Sistem pengairan tanaman di ladang-ladang tidak dinaiktarafkan lantas menyebabkan pengeluaran hasil tanaman semakin sedikit.
Idealogi komunisme yang diperkenalkan oleh Mao Zedong ini semasa era pemerintahannya di China, bukanlah idea songsang yang boleh dibutuhkan dengan begitu sahaja. Sebaliknya ia adalah pemangkin kepada kebangkitan dan kemajuan China sehingga mampu untuk berdiri sebaris dengan negara-negara maju pada ketika ini. Satu sifat yang dapat diketengahkan disini ialah komunisme era-Mao Zedong telah membawa kepada kepesatan dalam semua bidang di China. Model kejayaan pembangunan China ini patut dijadikan model kepada negara lain dalam menggerakkan proses pembangunan wilayah nasional terutama sekali negara-negara dunia ketiga.
Perlu kita fahami, China merupakan sebuah negara yang lahir pada tahun 1949 berasaskan ideologi komunisme dan mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Dalam tempoh 1949-1978 China boleh dianggap sebagai negara yang lemah dan mundur akibat daripada perlaksanaan dasar tutup pintu oleh Mao Zedong. Walaupun China telah bergelar sebagai negara kuasa besar bersama-sama Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Rusia, namun China telah dipinggirkan oleh kuasa-kuasa besar lain kerana kelemahan dan kemunduran ekonominya.

KAPITALIS DALAM KOMUNISME
Perlantikan Deng Xiaoping sebagai pengganti Mao pada tahun 1978 telah membawa era baru kepada China. Memandangkan sistem sosialis China telah membawa kepada kemunduran dan menghadkan pembangunan ekonominya, idea pembangunan wilayah mula muncul bagi mengatasi masalah yang dialami. Deng telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan sebuah wilayah yang kaya dengan ekonomi untuk menjana pembangunan di wilayah-wilayah lain.
Justeru, idea pembangunan wilayah ini telah menjadikan wilayah Barat sebagai Zon Ekonomi Eksklusif dalam usaha Deng membangunkan China secara menyeluruh walaupun masih mengamalkan sistem komunisme dalam kehidupan seharian. Perlaksanaan pembangunan wilayah ekonomi ini telah bertindak sebagai ‘wilayah magnet’ yang telah menyerap kemasukan dana kewangan dan pelaburan asing ke China. Sememangnya sumber dana kewangan adalah nadi kepada sesuatu agenda pembangunan khususnya Deng Xiaoping. Justeru, bagi mengurangkan bebanan pihak kerajaan dalam menjana dana pembangunan, China telah mengambil pendekatan untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing agar dapat membantu pergerakan dan pertumbuhan ekonomi di wilayah tersebut. Kemasukan sumber dan dana pembangunan ini, secara langsung telah membolehkan proses pembangunan ekonomi bergerak pantas. Faedah dan kemakmuran yang dikecapi di wilayah ini telah menjana pula kemajuan di kawasan-kawasan lain termasuk di luar sempadan wilayah ini.
Perbezaan pendirian antara pemimpin Deng Xiaoping dan Mao dan kedaulatan ideologi komunis tidak menghalang kemajuan dan pembangunan China melalui pembangunan wilayah istimewanya. Tindakan Deng yang menggabungkan sistem ekonomi sosialis dan kapitalis dalam sistem ekonomi China telah memastikan kemajuan dan kemakmuran China. Masalah ideologi bukan lagi halangan dalam membawa masuk pelaburan asing ke China, malah China terus membuka tangan kepada kemasukan pelaburan asing dalam usaha untuk mencapai matlamat sebagai sebuah gergasi ekonomi dunia. Strategi China ini ternyata merupakan pendekatan terbaik yang memberi kesan besar kepada suasana politik, ekonomi dan sosial di China. Ini kerana hanya dalam tempoh 30 tahun sahaja iaitu antara 1978-2008, China telah mengecapi kemajuan sepertimana yang kita lihat pada hari ini. Laluan kejayaan dan kemajuan China ini adalah laluan yang amat berliku. Ini kerana proses pembangunan China ini bermula daripada kosong iaitu tidak pernah mengamalkan sistem kapitalis dan menghadapi masalah kemunduran khususnya ketika era Mao Zedong (1949-1976), namun masih mampu mencipta kejayaan. Dengan kata lainnya, kemajuan dan kejayaan pembangunan wilayah oleh Deng amat dibanggakan.
Berbalik kita kepada persoalan corak kehidupan komunisme melalui konteks politik, ekonomi dan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan komunis China semasa era pasca-Mao Zedong. Penulis sebenarnya masih buntu untuk menerangkan tentang bentuk-bentuk pembaharuan yang telah dilaksanakan memandangkan kebanyakan daripada cadangan dan proposal yang telah diperkenalkan oleh Mao Zedong seringkali terhenti ditengah jalan atau dengan kata lain, gagal.
Sungguhpun begitu, penulis bukanlah bermaksud untuk menghina Mao Zedong yang mengamalkan dasar tutup pintu demi mempertahankan ideologi komunismenya. Tetapi, kebangkitan beliau sebagai pemegang fahaman komunisme yang taat dan taksub ini telah menjustifikasikan suatu bentuk kesedaran dikalangan pemimpin negara China selepas kematian beliau. Kesedaran inilah yang menyebabkan kepesatan dan kemajuan yang dikecapi hari ini dapat dirasai oleh seluruh rakyat China.

PENUTUP
Fahaman komunis dan amalannya yang diperjuangkan pada zaman dahulu sudah mula luntur dimamah usia selepas pencetusannya. Hal ini dapat dilihat sekiranya kita meneliti sejarah dan perjuangan nasionalisme dalam konteks negara China, polisi pemerintah China terhadap ekonomi tempatan berubah apabila pelabur (kapitalis) yang dianggap musuh rakyat mula bertapak bermula era tahun 1990-an. Hal ini dapat dilihat dengan kebanjiran kilang-kilang di dalam negara China. China adalah sebuah negara republik yang mengamalkan sistem komunis dalam pemerintahannya sehingga kini. Isu berkenaan dengan kerelevanannya dalam politik kontemporari China hari ini tidak boleh disangkal lagi memandangkan ia telah dibuktikan oleh penggabungan sistem ekonomi sosialis dan kapitalis ke dalam sistem ekonomi China telah memastikan kemajuan dan kemakmuran China. Namun yang demikian, walaupun ramai yang menganggap ideologi komunisme sudah lemah berikutan jatuhnya Kesatuan Republik Soviet pada tahun 1991, namun ideologi itu tetap wujud dalam bentuk yang baru iaitu sosialisme. Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa komunisme dalam politik kontemperari negara China adalah relevan. Cuma, konsep dan pegangan komunisme ini perlu diolah supaya ia sejajar dengan keperluan dan hak-hak kemanusian sejagat.

2008......

No comments: